Kesilapan kerajaan pusat ketika membuat perjanjian dengan syarikat konsesi lebuh raya tanpa menyatakan jumlah keuntungan maksimum yang boleh dikutip mengakibatkan rakyat terpaksa membayar tol lebih daripada sepatutnya.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kesilapan ini sepatutnya diperbetulkan kerajaan pusat sejak sekian lama supaya rakyat tidak lagi terbeban dengan keadaan ini.
Khalid (gambar), bekas tokoh korporat negara berkata, perjanjian konsesi lebuh raya lebih menumpukan kepada tempoh perjanjian sehingga mengakibatkan syarikat konsesi mengaut keuntungan berganda yang melampaui kos perbelanjaan awal yang telah dikeluarkan untuk menyiapkan projek berkenaan.
"Kita dapati syarikat konsesi, apabila membentangkan kertas kerja, menyatakan peratus pertumbuhan trafik adalah lebih rendah dari apa yang berlaku sekarang."Ini bererti aliran tunai atau pendapatan hasil untuk konsesi adalah lebih besar daripada apa yang dijangkakan."Walau bagaimanapun pemegang konsesi masih menuntut walau mereka sudah memperoleh (keuntungan) daripada apa yang dijangkakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dalam sidang medianya sebagaimana dilaporkan Selangorkini.
Bagi beliau, kerajaan pusat perlu menyemak semula pulangan keuntungan yang diperoleh syarikat konsesi dan mengubah pendirian mereka kerana pada dasarnya kerajaan sudah membayar lebih dari sepatutnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata kenaikan kadar tol yang dijangka berlaku tahun hadapan tidak dapat dielakkan
Ini kerana, perkara itu terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya dan telah tiba masanya untuk kadar tol dinaikkan, memandangkan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.
Menurut angka yang disebarkan melalui laman sosial, kenaikan mendadak kadar tol di negara ini akan berlaku mulai tahun depan.
Mengikut angka yang tidak pasti kebenarannya itu, kadar tol di lebuh raya Sungai Besi Besraya akan naik dari RM1.30 ke RM2.
Lebuh raya NPE dari RM1.60 ke RM2, LDP dari RM1.60 ke RM2.10, Akleh dari RM1.50 ke RM2.50, Kajang SILK dari RM1 ke RM1.30.
Lebuh raya KL-Putrajaya (MEX) pula dari RM2.50 ke RM3.50, lebuh raya Kajang -Seremban (Lekas) dari RM1.90 ke RM2.30, lebuh raya trafik KL Barat (Sprint) dari RM1.50 ke RM2.50, Lebuhraya Pantai dari RM1.50 ke RM2.50, Damansara RM1 ke RM1.50, Kiara dari RM2 ke RM3.
Lebuh raya SKVE pula dari RM14.96/kilometer ke 16.46/kilometer manakala Lebuh raya Koridor Guthrie (GCE) pula dari RM1.40 ke RM1.90 dan Lebuhraya Smart dari RM2 ke RM3. – The Malaysian Insider, 16 Disember 2013.
0 ulasan:
Catat Ulasan