WAHAI isteri-isteri, ketahuilah bahawa kajian The Engage Mutual menunjukkan 57 peratus lelaki mengharapkan perhatian dan simpati ketika sakit. Dua pertiga lagi suka merengek dan merungut.
Anda sendiri bagaimana reaksi apabila suami berkeadaan begini? Saya selama ini, tidak pernah sedar malah menyangka hanya saya yang berubah terlebih manja apabila demam, sakit perut atau sakit kepala. Rupa-rupanya ramai lagi!
Menurut The Engage Mutual, lelaki menganggap selesema biasa sebagai demam dan sedikit pening kepala sebagai migrain. Mereka mahu dilayan seperti anak kecil apabila dilanda sedikit masalah kesihatan.
Keadaan itu berpunca daripada gen micronas yang mempunyai hubungan dengan fungsi imun dan dikeluarkan oleh kromosom X.
"Wanita sebaliknya lebih berupaya untuk menentang komplikasi yang berpunca daripada kecederaan atau jangkitan kerana mereka memiliki dua kromosom X berbanding satu yang dimiliki lelaki," hujah penyelidik yang juga pakar perbidanan dan sakit puan Sekolah Perubatan Yale, Prof Dr Mary Jane Minkin dalam laporan yang disiarkan BioEssays, baru-baru ini.
Menurut Dr Minkin, lelaki memerlukan isteri untuk menjaga mereka ketika sakit kerana kajian menunjukkan mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun jarang bertemu doktor.
"Lelaki pada usia itu biasanya takut untuk jumpa doktor dan apabila sakit sedikit, mereka sangat risau," katanya.
Dikatakan lelaki berubah menjadi lebih manja ketika sakit malah begitu mengada-ada sikapnya hanya ketika demam disebabkan terbawa-bawa oleh pengalaman semasa kecil.
"Mereka teramat merindui kenangan itu... dilayan dan dibelai oleh ibu. Sentuhan lembut dan penuh kasih sayang oleh seorang wanita jadi pengalaman terindah hidup mereka dan mahu terus diulang walaupun setelah mereka dewasa.
"Ini berbeza dengan wanita, yang juga punya pengalaman sama pada zaman anak-anak namun wanita sebaliknya berupaya menangani diri mereka sendiri tatkala terkena flu atau sakit ringan," kata Dr Minkin.
"Inilah kekuatan yang ada pada wanita, yang sangat berguna untuk mereka pula merawat, membelai dan memanjakan anak-anak yang sakit," katanya lagi.
Dr Minkin mengakui, dia sendiri sering dihadapkan dengan keluhan ramai isteri yang gagal untuk memahami perubahan sikap suami mereka dalam keadaan seperti itu.
"Hal yang seperti ini, jika tidak difahami atau tidak ada persefahaman dalam hidup berpasangan, kadang kala boleh jadi masalah," katanya.
Dihadapkan dengan fakta kajian ini, semoga kita sama-sama lebih memahami. Janganlah dirungutkan atau dileteri apabila suami yang badannya gagah perkasa seperti Sazali Samad atau Arnold Schwarzenegger tiba-tiba merengek minta itu ini.
Janganlah pula berasa geli geleman jika dia minta diusap seperti anak kecil.
Memang, kita selalunya akan dihadapkan dengan pelbagai perbezaan. Wanita yang lemah lembut sifatnya, gebu gebom pula kulitnya, dalam keadaan tertentu dikurniakan tuhan kekuatan semula jadi yang tidak mudah untuk difahami oleh lelaki!
Manakala lelaki yang gagah perkasa fizikalnya, ada ketika menjadi sangat manja hanya kerana diserang selesema.
Itulah perbezaan-perbezaan yang kita perlu fahami dalam hidup berpasangan kerana lelaki dan wanita sememangnya dijadikan dengan seribu satu ketidaksamaan.
Dan jurang ketidaksamaan itu bukan untuk diperbesarkan sebaliknya untuk sama-sama difahami, dihadami dan dihayati sebagai pasak tugu cinta yang akan kekal teguh hingga ke syurga.
* Oleh MUHAMAD MAT YAKIM, Sinar Harian, 7 Februari 2014
0 ulasan:
Catat Ulasan