Breaking News
Loading...
Selasa, 18 Februari 2014

Info Post
PETALING JAYA, 18 Februari 2014 - Bangsa Melayu didakwa merupakan golongan yang paling tinggi menghadapi masalah kesempitan kewangan akibat kadar kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi daripada kenaikan pendapatan.
 
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, sejumlah 19,575 orang telah diisytiharkan muflis dan daripada jumlah itu, 48.4 peratus merupakan bangsa Melayu.
 
"Pada Tahun 2012, laporan Jabatan Insolvensi Malaysia menyatakan, sejumlah 19,575 orang telah diishtiharkan muflis atau purata 1,631 orang telah muflis setiap bulan.        
 
"Manakala kadar purata bilangan muflis bulanan pada Januari hingga September 2013 sebanyak 1,812 adalah 11 peratus lebih tinggi berbanding kadar purata bulanan 2012," katanya pada sidang media, dekat sini, hari ini.                      
 
Katanya lagi, sekiranya data untuk keseluruhan 2013 dikeluarkan, beliau menjangkakan lebih daripada 20,000 kes muflis akan dilaporkan. 
"Hal ini disebabkan kerana kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kesan daripada pengurangan subsidi," katanya.
 
Tambahnya, fenomena ini bukan sahaja tertumpu kepada Semenanjung Malaysia, bahkan telah menular ke seluruh negara, terutama di kawasan bandar.
 
"Menurut sebuah akhbar tempatan pada 2 Disember 2014, Kuching, Miri dan Sibu, masing-masing telah mencatatkan sebanyak 6,925, 4,058 dan 2,557 kes muflis.
 
"Angka Bank Negara juga menyatakan bahawa pada tahun 2013, bank-bank di Malaysia telah mencatat jumlah tertinggi semenjak 2006 untuk pinjaman peribadi dan kad kredit iaitu sejumlah RM 139 billion berbanding RM 124 billion pada 2012," katanya.
 
Beliau berkata, penambahan pinjaman sebegini disebabkan oleh penyusutan pendapatan lebihan akibat kenaikan kos sara hidup dan bukannya semata-mata disebabkan oleh kegagalan rakyat menguruskan kewangan peribadi. - Sinar Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan