Breaking News
Loading...
Rabu, 5 Mac 2014

Info Post
Untuk membantu anak mendapatkan nutrien yang cukup bagi tumbesaran yang optimum, ada beberapa tip boleh dijadikan amalan.
 
Beri protein yang mencukupi
Jumlah protein yang mencukupi dalam diet harian anak penting untuk kesihatannya. Protein bukan sahaja menyumbang ke arah tumbesaran tubuh untuk kanak-kanak yang sedang membesar tetapi juga untuk membantu membina dan memperbaiki tisu badannya yang rosak. Berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien (Recommended Nutrient Intake -RNI) untuk rakyat Malaysia, kanak-kanak yang berusia di antara satu hingga tiga tahun memerlukan sebanyak 14gm protein setiap hari manakala kanak-kanak yang berusia di antara empat hingga enam tahun memerlukan sebanyak 23gm protein setiap hari. Oleh yang demikian, pastikan anak anda mendapat protein yang secukupnya.
Pastikan anak cukup zat besi
Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, zat besi penting untuk penghasilan hemoglobin iaitu komponen dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh. Untuk pengetahuan, jumlah darah meningkat sejajar dengan peningkatan pertumbuhan anak. Oleh sebab itulah kanak-kanak perlukan zat besi yang secukupnya.  Zat besi boleh diperoleh daripada daging merah, hasil tenusu, makanan laut, dan sayur-sayuran hijau seperti brokoli.
 
Hadkan pengambilan gula
Gula merupakan karbohidrat ringkas dan boleh didapati dalam buah-buahan, makanan pencuci mulut dan minuman berperisa. Seperti yang diketahui ramai, gula membekalkan tenaga tetapi kurang kandungan nutriennya. Jadi, pastikan anak anda tidak terlebih mengambil gula. Hadkan pengambilan snek yang manis oleh anak. Sebaliknya, galakkan mereka makan makanan yang kaya nutrien dan tenaga. Antara makanan yang disarankan ialah seperti buah-buahan kerana buah-buahan bukan hanya mengandungi gula tetapi juga kaya dengan pelbagai jenis vitamin. Selain buah-buahan, karbohidrat kompleks pun bagus untuk anak anda kerana berkanji dan berserat. Beri anak anda banyak karbohidrat kompleks seperti nasi, mi, oat atau bijirin.
 
Jangan gunakan garam
Banyak makanan yang siap yang ada di pasaran bukan dibuat untuk kanak-kanak dan selalunya mengandungi terlalu banyak garam. Jadi, elakkan membeli makanan siap untuk anak. Sebaiknya sediakan sendiri makanan untuk anak. Akan tetapi ketika menyediakan makanan untuk anak, kurangkan penggunaan garam dan kalau boleh jangan masukkan garam ke dalam makanan mereka terutamanya bagi makanan bayi.
 
Pengambilan lemak baik
Bukan semua lemak tidak baik untuk kesihatan. Tidak kira sama ada orang dewasa ataupun kanak-kanak, masing-masing perlukan lemak untuk kegunaan tubuh. Lemak mengandungi asid lemak yang penting dan sesetengah jenis mikro nutrien yang sangat diperlukan untuk pembentukan otak dan menjalankan fungsinya dengan sebaiknya. Akan tetapi, walaupun lemak baik, anda masih perlu mengawal pengambilan lemak oleh anak. Terlalu banyak makanan berlemak boleh memudaratkan. Sebaliknya, pilihlah makanan yang mengandungi lemak daripada sayur-sayuran dan ikan kerana bahan-bahan tersebut kaya dengan Omega 3 dan Omega 6. Oleh itu, pastikan makanan yang diambil anak perlulah seimbang.
 
Tetapkan waktu makan
Ajarkanlah tabiat pemakanan sihat kepada anak sejak mereka kecil lagi. Ini termasuklah bila waktunya mereka perlu makan dan bukan hanya apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka makan. Kanak-kanak disarankan mengambil 3 hidangan utama dan 2 hingga 3 hidangan snek sehari. Hal ini membantu mengelakkan pengambilan makanan ringan yang tidak terkawal dan dalam masa yang sama mengurangkan risiko obesiti. Ibu bapa disyorkan agar sentiasa membekalkan anak dengan snek yang berkhasiat seperti buah-buahan, makanan tinggi serat dan bijirin agar mereka dapat makan ketika lapar. Karbohidrat lengkap yang ada dalam bijirin, makanan kaya serat dan buah-buahan mampu membuatkan perut anak anda kenyang sementara menunggu waktu makan utamanya. Serat yang ada dalam buah-buahan dan bijirin baik untuk sistem penghadaman kanak-kanak dan membuatkan dia rasa kenyang untuk satu jangka masa yang panjang.
 
Makan bersama keluarga
Makan bersama keluarga adalah amalan yang baik dan perlu diamalkan oleh setiap keluarga yang ada di dunia ini. Inilah masanya untuk mengeratkan hubungan seisi keluarga. Jadi, sediakanlah hidangan yang istimewa dan pastinya makanan tersebut kaya dengan khasiat. Inilah juga masanya untuk ibu bapa mengajar anak etika di meja makan dan tabiat pemakanan yang baik.
 
Pengambilan sarapan
Walaupun bunyi mungkin agak cliche tetapi kanak-kanak yang makan sarapan pagi mendapatkan keseluruhan pemakanan yang lebih baik daripada mereka yang tidak megambilnya. Makan sarapan pagi yang berkhasiat membantu tumbesaran mereka.
 
Pengambilan buahan dan sayuran
Makan buah-buahan dan sayur-sayuran meningkatkan sistem imun kanak-kanak untuk membantu mereka kekal sihat dan aktif. Biarkan mereka memilih beberapa yang disukainya seperti lobak merah, brokoli, asparagus, anggur, tembikai, strawberi ataupun pisang. Kalau boleh libatkan anak-anak dalam aktiviti membeli agar mereka boleh pilih makanan yang mereka suka asalkan berkhasiat.
 
Pengambilan minuman
Selain itu, elakkan daripada memberi anak minum minuman berkarbonat dan galakkan anak minum banyak air kosong. Penting untuk memastikan kanak-kanak aktif terhidrat sepanjang hari. Pastikan mereka sentiasa minum air untuk tenaga. Paling senang bawa minuman dari rumah. Bukan itu sahaja, susu rendah lemak berperisa seperti susu coklat organik mempunyai nisbah 3:1 karbohidrat kepada protein, yang menjadikan ia pilihan yang bijak bagi atlet pulih dalam kecederaan. Jadi, selepas sukan atau pertandingan, cuba beri kanak-kanak minum untuk pemulihan dalam masa 30 minit ketika sesi latihan atau pertandingan.
 
Aktifkan kanak-kanak
Kalau boleh bawa anak bersama jika membeli barang keperluan rumah, biar mereka sertai untuk memilih makanan untuk dibeli. Jadikan ia sebagai proses pembelajaran, contohnya jika membeli lobak – beritahu mereka kebaikan lobak, sekaligus memberi pengetahuan kepada mereka. Bukan itu sahaja, jika menyediakan makanan juga pastikan kanak-kanak membantu anda agar mereka terhibur dan aktif tidak pasif.
 

* Sumber : 1, 2 & 3
 

0 ulasan:

Catat Ulasan