MENGAPA Cina dianggap sebagai penceroboh?Adakah kerana Melayu masih memerlukan hak istimewa?
Terlebih dahulu, ingin saya maklumkan bahawa pandangan saya di sini adalah berkenaan hak ekonomi semata-mata dan bukan mengenai hak raja-raja.
Pada awalnya, wacana diskriminasi positif menjustifikasikan hak istimewa ini. Hak ini umpama tongkat bagi mereka yang tidak mampu berjalan atau baby walker untuk bayi bagi melatih mereka berjalan. Hal ini bermakna, wacana hak istimewa adalah wacana kontradiksi antara yang uzur dengan kuat dan bayi dengan dewasa.
Hasilnya, media Melayu telah menguar-uarkan statistik mengenai sumbang mahram, penagih dadah dan kes rempit, di mana kebanyakan penjenayahnya ialah Melayu untuk membuktikan bahawa Melayu memerlukan hak istimewa kerana mereka masih belum mampu berjalan betul.
Persoalannya ialah sejauh manakah agama Islam sendiri mampu mentarbiah penganutnya sehingga satu hari nanti mereka mampu berjalan tanpa tongkat ataupun baby walker?
Sebahagian agamawan juga telah menonjolkan pelaksanaan undang-undang hudud sebagai indikator kepada kejayaan islamisasi. Mampukah mereka yang bertatih melaksanakan undang-undang hudud dengan efektif?
Persoalan perlaksanaan ini tidak relevan bagi sebahagian agamawan. Hukuman hudud adalah perintah Tuhan. Tidak perlu berhujah dengan penganut bukan Islam! Lagipun, hukuman ini hanya dikenakan untuk penganut Islam di Malaysia sahaja.
Rakyat wajib dengar dan patuh tafsiran agamawan seperti bayi yang perlu disusukan. Sebuah NGO Islam mahu hudud dilaksanakan ke atas semua warganegara tetapi semasa mendiang Karpal Singh masih hidup, tiada yang tampil berhujah dengan Harimau Jelutong itu.
Kini, wacana diskriminasi positif telah bertukar kepada laungan Malaysia Milik Melayu. Pengumuman tentang Tsunami Cina semasa PRU13 telah mengejutkan rakyat sehingga laungan "apa lagi Cina mahu" menjadi lebih kuat daripada laungan takbir! Hak istimewa dipersoalkan oleh arus liberalisme yang bertopengkan hak asasi kemanusiaan.
PRU13 telah menimbulkan ketakutan/fobia akan kehilangan hak istimewa Melayu sekiranya Melayu tidak bersepakat.
Sebahagian Melayu melihat jenayah Melayu sekarang bukan lagi sekadar isu sumbang mahram, rasuah, salah urus tadbir atau yang lain-lain tetapi yang lebih utama, ketidaksepakatan antara mereka sendiri.
Melayu perlu bersepakat bahawa sebenarnya bangsa Melayu itu dahulunya hebat sebelum pencerobohan kuasa luar, bahawa Cina bersekongkol dengan penjajah untuk menceroboh Tanah Melayu dan kini ingin merompak tongkat dan baby walker Melayu.
Maka, kedengaran suara marah bercampur takut dalam dalam kalangan sebahagian Melayu, "Masa depan negara kami, biar kami yang tentukan. Tapi kamu penceroboh, tetap bayar cukai." Tun Dr Mahatir membalas, "Shut up! Kamu mengganggu keharmonian negara.
Kewujudan Cina satu realiti. Deal with it!" Amaran Tun sudah terlambat kerana wacana baru terlalu selesa bagi mereka yang menganggap bertongkat itu sudah menjadi fitrah mereka. Wacana 'diskriminasi positif' pada zaman Tun diguna pakai kerana ketidakupayaan kaum Melayu pada zaman itu.
Kini, wacana 'Malaysia Milik Melayu' dan penceroboh diketengahkan dengan menggunakan kaum lain sebagai kambing hitam. Atas alasan "Ini fakta sejarah, kamu penceroboh", semua fakta sejarah bakal halal digembar-gemburkan.
Hakikatnya, majoriti Melayu yang cinta pada Islam dengan ikhlas tertanya-tanya, "Kami bukan sekadar Melayu. Kami orang Islam, khairu ummah (umat terbaik) tetapi selepas 56 tahun penceroboh-penceroboh dikawal dan diperintah oleh kami, mengapa kami pula makin roboh? Siapa sebenarnya penceroboh hak semua rakyat Malaysia?"
Semakin Cina digambarkan sebagai penceroboh, semakin kuat alasan bahawa kami perlu bergantung sepenuhnya kepada tongkat dan baby walker dalam sebanyak aspek yang boleh, bukan sekadar ekonomi. Dalam hal ini, Datuk Seri Najib dengan berani, tegas dan simbolik melepaskan tongkat ISA.
* Oleh Xifu Naser (tokoh pendakwah Perak), Sinar Harian, 16 Mei 2014
0 ulasan:
Catat Ulasan