TATKALA British Empire kemuncak dari 1860an hingga tamatnya 1960an, imperial game yang popular adalah kriket dan ragbi.
Dalam kehidupan - di tanah jajahan apatah lagi di Great Britain sendiri - kriket dan ragbi, kriket khasnya, metafora (metaphor) atau ibarat, kiasan yang mencerminkan life and time era itu juga dari prisma (prism) sekolah berasrama penuh (public schools) dan kesusasteraan Inggeris.
Sekarang bola sepak (football atau soccer), kriket terus penting tetapi bola sepak telah lama mengatasi kriket, ragbi, golf, tenis, sukan. Khamis 12 Jun bermulalah pesta bola sepak Fifa edisi ke-20 di Sao Paolo (Brazil - 5 kali juara Piala Dunia) apabila tuan rumah mengalahkan Croatia 3-1. Setelah permainan tamat saya solat Subuh jam 6, pagi Jumaat waktu Malaysia.
Permainan tidak sebegitu menarik sehingga pada saat-saat terakhir apabila Brazil menambah kemenangannya 2-1 ke 3-1. Gol pertama bagi Brazil dihasilkan oleh pemain Brazil sendiri (Marcelo), gol kedua melalui penalti yang agak kontroversial - gol penalti dijaringkan oleh Neymar pada saat-saat akhir mengimbas permainan ala samba Brazil yang termasyhur itu. Gol ketiga dijaringkan oleh Oscar. Pesta bola Fifa ini akan berakhir apabila finalnya menentukan siapa juara 2014 Piala Dunia pada 13 Julai.
Perdana Menteri Najib Tun Razak meramal Sepanyol juara 2014. Sungguhpun saya bukan kaki bola seperti sesetengah pemimpin politik, saya teka Brazil. Ada orang kata Argentina, Belanda dan German. Apa pun saya rasa akan ada kejutan dari sebuah negara Afrika.
Yang agak sahih bagi saya kecualilah satu miracle berlaku. Nampaknya England sukar untuk ke peringkat lapan negara terakhir pun. Apatah lagi ke peringkat semi final.
Sungguhpun begitu kerana bola itu bulat, sebarang kemungkinan boleh berlaku. Komen Speaking: "Soccer or football is the sport that is the opiate of the masses around the globe." Maknanya bola sepak candu bagi manusia seluruh dunia.
Jumaat malam ramai punters, kaki judi mesti kalah teruk apabila Sepanyol, juara penyandang Fifa 2010, diaibkan oleh Belanda, naib juara Fifa 2010, dengan 5 gol berbalas 1. 4 gol disumbat dalam masa separuh akhir.
Musim pesta bola Fifa ini biasanya ramai orang tuang kerja, disiplin dalam pentadbiran kerajaan dan bisnes pincang, produksi negara menurun, bahkan berlaku juga kepincangan dalam rumah tangga.
Apa pun cubalah jangan hingga tergadai galah yakni merisikokan harta benda dan ketenteraman kekeluargaan kerana ketagih bola. Ramai orang kaki bola, kaki minum dan kaki P(erempuan). Tidak ramai lagi kaki sajak, kesusasteraan, hatta kaki wayang gambar pun (majoriti lihat video sekarang) apatah lagi sukar mencari mereka yang kaki syair!
Madah orang tua jadilah apa pun asal jangan keterlaluan atau berlebihan (obssessive) pada 'betina'; jangan terlanjur rasuah, minum arak, memfitnah dan berbohong serta mungkir janji dan menipu.
Manusia era apa pun tetap manusia juga. Ramai manusia bak kata orang lama tidak boleh buat apa-apa lagi termasuklah saya. Terikat kaki tangan, yakni tidak berkuasa dan berpengaruh dan bertenaga lagi seperti dahulu.
Sepanyol, Brazil, Argentina, Belanda, Ghana, German dan Itali adalah pasukan yang mesti diberi perhatian. Satu yang pasti pada saya Brazil, tuan rumah, tidak rela negara mana pun merosakkan (spoil) pesta bola terbesar awal kurun ke-21 ini. Brazil akan bermain mati-matian di hadapan home crowds yang penuh semangat patriotisme tidak akan membenarkan negara asing merosakkan aspirasi dan kegembiraan mereka menjulang piala bagi kali ke enam.
Perjudian mega sedang berlaku di seluruh dunia seperti biasa masa pesta bola Fifa, dulu, sekarang dan masa akan datang tidak berubah. Cara perjudian dan skalanya makin canggih dan besar.
Perjudian bola sepak bukan seperti judi tikam ekor, judi lumba kuda atau main pakau. Ini mega bisnes ala mafia. Termasuklah penglibatan orang Melayu dan Islam.
Orang Melayu dan Islam serta Peribumi lain memasuki era politik baru pada tahap baru. Mereka memperjudikan masa depan kuasa politik mereka kerana dendam kesumat, agenda sempit hingga rela meletakkan agama, watan, bahasa dan bangsa dalam keadaan mudarat dan bahaya. Sanggup mempertaruhkan ibu pertiwi, keturunan dan masa hadapan mereka.
Bertaruh dan berjudi dalam pesta bola Fifa memudaratkan orang itu dan mungkin keluarganya sahaja. Pemimpin yang mempertaruhkan bangsa, agama, tanah air dan bahasa kerana political expediency menghancurkan sejarah dan membasmi mereka dan keturunan mereka, sekali gus negara, bahasa dan agama.
Bola bolalah, seronok seronoklah. Tuang kerja tuanglah! Tegas seorang pemimpin tertinggi Melayu/Islam dengan pilu; "Umno dan Pas mesti lapang dada, yang keruh dijernihkan.
Ketuanan Islam/Melayu yang tercabar mesti ditundukkan kalaupun tidak ditewaskan. Jadikan pelaksanaan hudud di Kelantan sebagai permulaan perpaduan tulen".
Renungan:
Ada berasal dari Deli,Tinggal di beberapa cabang;Kita jual mereka beli,Akhirnya kita bangsa menumpang.Melayu ke dusun cari cempedak,Dusun dipunyai Cik Siti;Sekali makan sekali tidak,Makan hanya asal tak mati.
* Oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD, Sinar Harian, 15 Jun 2014
0 ulasan:
Catat Ulasan