Breaking News
Loading...
Ahad, 1 Disember 2013

Info Post
UMNO semalam mengumumkan perlantikan sembilan ahli MT untuk melengkapkan barisan kepimpinan tertingginya, sesuai usainya pemilihan parti pada 12 Oktober lalu dan dalam menghadapj Perhimpunan Agung Umno minggu depan. Perlantikan yang dibuat dan disahkan oleh Presiden Umno, Najib Razak itu bagaimanapun hanya diumumkan oleh Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.
 
Mereka yang dilantik ialah Nazri Aziz, Hamzah Zainuddin, Sharkar Shamsuddin, Irmohizam Ibrahim, Johari Abdul Ghani, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Dr Asraf Wajdi Dusuki, Prof Ibrahim Abu Shah dan seorang pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias.
 
Sudah tentu yang paling mengejutkan ialah perlantikan Ustaz Kazim Elias manakala yang lain tidaklah begitu memeranjatkan seperti Dr Asraf dan Prof Ibrahim Abu Shah. Dr Araf, walaupun menjadi Pengerusi Yadim tetapi beliau memang orang Umno. Ayahnya, Dusuki Ahmad ialah bekas Ahli Parlimen di Kelantan dan pernah menjadi Setiausaha Politik Mahathir dan Dr Asraf juga pernah menjadi calon pilihanraya mewakili BN.
 
Prof Ibrahim pula memang dikenali sebagai ahli akademik dan pernah menjadi Naib Canselor UiTM tetapi sejarahnya dengan Umno sudah berakar umbi sejak zaman pelajar lagi di mana pernah menjadi pengasas sebuah kelab Umno di luar negara.
 
Lantaran itu, perlantikan mereka menduduki kerusi MT tidaklah mengejutkan, ia tidak jauh berbeza dengan pemimpin-pemimpin Umno yang lain yang turut dilantik itu. Tetapi agak berbeza dengan Ustaz Kazim. Walaupun dalam banyak ceramahnya yang boleh ditonton melalui Youtube, kecondongannya kepada Umno dan kerajaan agak jelas, tetapi keahliannya dalam Umno masih belum pasti. Ramai yang mengatakan beliau bukanlah ahli Umno dan dalam sebuah ceramahnya juga, Ustaz Kazim ada mengaku beliau bukanlah ahli Umno.
 
Menurut Ustaz Kazim dalam ceramahnya, beliau tidak peduli kepada hal-hal lain kerana dalam hatinya hanya ada ALLAH saja.
Dalam Umno sendiri kedengaran suara-suara yang mempertikaikan kewajaran perlantikan beliau itu. Sementara ada yang berpandangan bagaimana Najib boleh melantik seseorang yang bukan ahli Umno menduduki kerusi MT dan ini seakan mengesahkan lagi bahawa pemimpin Umno tiada harga di mata Presiden Umno dan Perdana Menteri, ramai yang lain berasa kasihan dengan nasib Ustaz Kazim selepas ini.
 
Mereka bimbang jika beliau tidak lagi dapat menggunakan ilmu dan pengetahuan agama yang dimilikinya dengan sewajarnya selepas menduduki kerusi MT ini kerana tenggelam dalam persekitaran dan budaya Umno yang tidak begitu sesuai dengan seseorang yang berlatar-belakangkan agama. Sudah terbukti sebelum ini bagaimana begitu ramai golongan agama yang berada dalam Umno dan diberi kedudukan, akhirnya tenggelam dan hanyut.
 
Golongan terbabit akhirnya turut terpalit dengan budaya bermewah, memiliki rumah dan kereta besar serta dikaitkan dengan beberapa perlakuan yang berunsurkan rasuah. Ilmu agama yang dimiliki kerapkali tidak lagi menjadi pemandu dalam kehidupan dan kecintaan kepada dunia akan menenggelamkan kecintaan kepada akhirat.
 
Inilah yang menyebabkan ramai yang kasihan dengannya kerana beliau dijangka akan menjadi golongan agama terbaru yang menjadi mangsa dan akan hanyut serta tenggelam selepas ini.
 
Lebih daripada itu, dengan menerima perlantikan sebagai ahli MT juga, ramai yang percaya Ustaz Kazim tidak akan berperanan dalam dakwah Islam seperti dulu lagi. Beliau akan menjadi sibuk dengan pelbagai program dan aktiviti dalam Umno dan mungkin juga bakal diberi jawatan di mana-mana agensi kerajaan.
 
Akhirnya beliau hanya berperanan membaca doa di majlis-majlis berkaitan Umno saja. Dan mungkin tugas pertamanya membaca doa ialah dalam mesyuarat MT sebelum Perhimpunan Agung Umno minggu depan ini ataupun ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno di PWTC nanti.
 
Amatlah malang, daripada berdakwah, berceramah dan menyampaikan ilmu, akhirnya hanya berperanan membaca doa saja.
 
Lebih malang lagi, jika selepas bergaul lama dalam Umno dan mula hanyut dalam persekitaran Umno sebagaimana yang sudah terbukti berlaku kepada ramai golongan agama sebelum ini.
 
 
 

*Oleh Shahbudin Husin, 30 November 2013
* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan kami.

0 ulasan:

Catat Ulasan