Breaking News
Loading...
Ahad, 1 Disember 2013

Info Post
SINGAPURA, 1 Dis. - Pelukis kelahiran Lithuania yang lukis mural jalanannya yang jadi kontroversi di Johor Bahru dan dikecam oleh pihak berkuasa bandar raya itu, menemukan peminatnya di seberang tambak dengan lukisan yang menampilkan tema kanak-kanak.
 
Foto-foto mural karya Ernest Zacharevic yang dihasilkannya di Singapura, kini tersebar dengan meluas di Facebook dan diterima oleh kebanyakan rakyat di republik itu.
 
Zacharevic mendapat kebenaran daripada pemilik bangunan di sekitar kawasan Kampung Glam untuk menghiasi dinding bangunan itu dengan mural dengan tema kanak-kanak.
 
"Ini satu pengalaman yang sangat menarik," katanya kepada AFP.
 
"Mereka menghargainya. Apabila saya mengeluarkan alat-alat lukisan, orang ramai menghampiri saya dan bertanya apa yang saya lakukan," kata pelukis berusia 27 tahun itu yang mempunyai studio di Pulau Pinang.
 
Zacharevic mencetuskan kemarahan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru baru-baru ini apabila melukis mural yang menggambarkan watak seorang penyamun bersenjatakan pisau menunggu seorang wanita di bucu jalan.
 
Mural Zacharevic yang dilukis di Johor
 
Pihak berkuasa tempatan itu kemudian memadamkan mural berkenaan kerana melihat ia satu sindiran kepada tanggapan mengenai kadar jenayah di bandar raya itu.
 
Tindakan itu bagaimanapun dikecam oleh orang ramai yang dapat menerima karya pelukis muda itu.
 
Vandalisme adalah satu jenayah di Singapura yang membawa kepada hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga SG$2,000 atau lebih kurang RM5,000.
 
Pada 2011, seorang warga Switzerland dipenjara dan dirotan kerana menconteng gerabak MRT di republik itu.
 
Menurut Zacharevic, muralnya di Singapura yang turut menampilkan watak daripada filem animasi 'Despicable Me' tidak terikat kepada tema tertentu.
 
"Saya tidak menghantar apa-apa mesej tertentu melalui karya seni saya. Saya cuba mengajak orang berfikir untuk mencari maknanya," katanya. - Agensi
 

0 ulasan:

Catat Ulasan