MEMANG saya tak sangka seorang jiran yang sangat pendiam rupa-rupanya sudah jadi jutawan. "Atas kertas," katanya, sambil menguntumkan senyuman selepas mendedahkan status asetnya dalam satu perbincangan mengenai persaraan baru-baru ini.
Menurut Jo, dia sudah menulis sebuah buku mengenai persaraan yang akan membuatnya menjadi jutawan apabila ia mula dijual.
Bukunya mengenai nikmat dalam tempoh persaraan itu kini menunggu masa sesuai sahaja untuk diterbit dan diedarkan.
Katanya, dia sudah mendapat jaminan buku itu akan dapat sambutan di negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Kalau tak salah saya, dia dijamin cetakan awal mencecah 100,000 naskhah. Wow! Insya-ALLAH, katanya, hasil yang bakal dia terima melalui royalti sahaja sudah berjuta-juta ringgit.
Syabas! Saya kagum, terharu, bangga atas kemampuan dan kejayaannya itu. Cuma yang saya pening apabila Jo memberitahu, berdasarkan tempoh hayat lelaki (72 tahun) dan wanita (73.5 tahun) zaman ini, seseorang itu perlu RM1.4 juta untuk perbelanjaan bagi tempoh 20 tahun dari hari dia mula bersara.
Bahagian ini Jo kata dia sedut daripada laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris. Jadi, kalau salah, bukan kesilapannya.
RM1.4 juta itu untuk makan sahaja. Perbelanjaan untuk gaya hidup yang dijalani seperti sebelum bersara, tukar kereta setiap lima tahun umpamanya, tambang dan belanja lain untuk makan angin, kos perubatan dan lain-lain belanja sampingan belum diambil kira.
Betul atau tidak perhitungan itu, saya mahu sangat berhadapan dengan orang yang membuat perkiraan hingga boleh mencecah RM1.4 juta hanya untuk belanja makan untuk tempoh 20 tahun bagi seorang individu.
Mungkin saya kira cara marhaen. Saya congak-congak; Katakan saya belanja RM30 sehari untuk makan, saya hanya akan belanja RM219,150 (dengan mengambil kira tahun lompat yang mengandungi 366 hari setiap empat tahun).
Katalah saya seorang pelahap dan makan tiga kali ganda daripada apa yang saya anggarkan tadi, saya akan belanja RM90 sehari; baru RM657,450 sahaja untuk 20 tahun!
Kalaulah saya mesti belanja RM1.4 juta dalam tempoh 20 tahun dari hari pertama saya bersara untuk makan sahaja; ah saya tak dapat nak bayangkan.
Cakap pasal persaraan, baru-baru ini, setelah lama mencari, saya bertemu kembali dengan seorang rakan sedarjah masa di sekolah rendah; bekas pegawai tinggi polis yang kali terakhir saya jumpa ialah 20 tahun yang silam.
Setelah bersara awal, dia terus menghilang; rupanya balik ke utara, beli sebidang tanah lebih satu hektar, buat rumah tersergam di tengah-tengahnya dan di kelilingnya ditanam pokok buah-buahan dan sayur-sayuran.
Saya tidak bertanya berapa dia belanja untuk semua itu, tapi saya tumpang gembira melihat kejayaannya mengubah kerjaya daripada seorang pegawai penguat kuasa beruniform kepada seorang petani yang simple tapi berjaya.
"Hidup begini tenang dan seronok. Tidak rugi berbudi pada tanah," katanya berfalsafah.
Terlanjur menceritakan kisah persaraan dan perbelanjaan, teringat saya mengenai sebuah laporan indeks persaraan global yang menyenaraikan Malaysia sebagai negara ketiga terbaik untuk bersara bagi orang Amerika Utara. Yang pertama Panama, kedua Ecuador.
Mengikut laporan InternationalLiving.com baru-baru ini, Malaysia adalah negara terbaik di Asia untuk bersara.
Kata pihak yang arif dalam bidang pengembaraan, Malaysia sesuai untuk dijadikan tempat persaraan kerana banyak tarikan, antaranya, kos hidup yang sangat rendah dibandingkan dengan negara maju, pertumbuhan ekonominya yang mampu menarik pelaburan dan kemudahan yang semakin baik untuk penghuninya.
Boleh tahan rupanya negara kita. Tentu ia akan lebih memikat kalau tiada percakaran dan perkara-perkara yang kurang enak.
* Oleh FARUSH KHAN, Sinar Harian, 5 Mac 2014
0 ulasan:
Catat Ulasan