Breaking News
Loading...
Selasa, 1 April 2014

Info Post
NO news is good news. Bila tiada berita, ertinya semuanya baik. Demikianlah maksud peribahasa Inggeris itu. Dahulu, tatkala kesakitan dan maut begitu kerap terjadi, berita yang diterima kebanyakannya adalah berita yang buruk. Sebaliknya jika dalam keadaan baik, tiada berita yang perlu disebarkan.
 
Di zaman di mana komunikasi kita adalah melalui surat menyurat dan tidak ramai pula yang mempunyai telefon di rumah, apabila  berita yang datang itu tiba dalam bentuk telegram, ia bermakna ada saudara dekat yang sakit kuat atau sudah meninggal.
 
Dalam dunia persuratkhabaran bercetak di waktu dahulu, berita yang disampaikan biasanya adalah berita kejadian semalam. Dalam konteks standard hari ini, berita yang sudah berlaku lebih 24 jam sudah boleh dianggap berita basi!
Pemberitaan ketika itu juga berbentuk laporan mengenai apa yang terjadi. Dengan kepayahan komunikasi, berita yang sampai ke pejabat surat khabar juga selalunya lewat. Kerana itu, istilah stop press, iaitu menghentikan mesin yang mencetak akhbar untuk memasukkan berita yang baharu diterima sudah menjadi kelaziman.
 
Di Malaysia, berita yang dipancar melalui radio pada ketika itu juga ada waktu-waktunya. Seingat saya, berita di radio dahulu hanya ke udara hanya lima kali sehari iaitu pada jam 6.00 pagi, 8.00 pagi, 1.30 tengah hari, 5.00 petang dan 10.00 malam. Waktu penyampaian berita itu pun hanya 10 minit. Ia disampaikan oleh pembaca berita di studio. Tiada lintas langsung iaitu berita secara live dari lokasi peristiwa seperti pada hari ini.
 
Apabila televisyen diperkenalkan pada 1963, persembahan berita juga tidak menarik. Hampir kesemua berita adalah berita majlis-majlis yang dihadiri oleh pak menteri. Sebab itu, bila berita disiarkan pada waktu 9.00 malam, ramai yang mengambil peluang untuk ke bilik air atau membuat kopi sementara menanti cerita Melayu bersiaran selepas siaran berita. 
 
Samada di akhbar, radio mahupun televisyen, corak pemberitaan sebahagian besarnya masih berbentuk serius. Apa yang menjadi human interest mahupun hiburan serta sukan hanya dianggap selingan. Ia adalah segmen kecil ruang berita di ketiga-tiga medium itu.
 
Kemunculan stesyen Cable News Network atau CNN pada tahun 1980 merobah sama sekali lanskap dunia pemberitaan. CNN adalah saluran televisyen pertama yang membekalkan hanya berita selama 24 jam dan ia adalah satu-satunya saluran televisyen yang hanya memaparkan berita sebagai rancangannya. 
 
Memang pada permulaannya kemunculan saluran berita 24 jam ini dipandang dengan sinis. Namun, pandangan umum mulai berubah apabila ia memaparkan tragedi Space Shuttle Challenger NASA yang meletup secara langsung hanya lepas seminit ia meluncur ke udara.  Sejak itu berita sudah menjadi seperti wayang. Perang Teluk, Perang Iraq dan peristiwa 11 September 2001 sudah dapat ditonton di rumah.
 
Media baratlah yang cepat menjejaki formula CNN. Perkembangan dunia internet juga menjadikan pemberitaan semakin mencabar dan mendesak; 24 jam sehari, setiap minit dan saat, berita mesti disampaikan. Rating perlu dijaga. Untuk mengelakkan agar penonton tidak lari, breaking news dan developing story disampaikan secara berulang-ulang.
 
Perubahan pada kandungan berita hanya dapat dibuat bila ada perkembangan terbaharu. Tetapi, berita bukannya cerita yang boleh direka-reka agar ia sentiasa bersambung. Tetapi, minat penonton perlu sentiasa dirangsang agar tidak mengalih saluran. Maka mulalah sesebuah berita yang kecil itu ditebar seperti roti canai. Ada side story, back story, analisa dan apa sahaja.
 
Untuk berita tragedi MH370 misalnya, maklumat dan petunjuk satelit dan radar serta aset-aset yang menyertai SAR di Lautan Hindi adalah berita teknikal yang membosankan. Untuk kekal menarik minat mereka yang mengikuti perkembangan semasa, kisah-kisah manusia mula menjadi mainan media barat.
 
Protes keluarga warga China yang mahu berita kemalangan itu diputar hingga menjadi isu warga China anti-Malaysia kerana kononnya menjadi paksi keganasan. Minat politik Kapten Zaharie dijadikan isu seolah-olah kemalangan itu terjadi kerana taksubnya. Begitu juga masalah rumahtangganya menjadi berita sensasi dalam rencah pemberitaan. Teori-teori konspirasi turut dimainkan hinggakan ia menjadi tumpuan penonton. Perasaan mangsa dan sensitiviti di antara negara tidak penting buat mereka.
 
Jika pada pandangan masyarakat, no news is good news, bagi pihak media barat pula no news is bad news kerana ia dibaca dalam konteks rating, nilai saham dan keuntungan. Formula pemberitaan sudah ditulis semula dengan wang sebagai denominasinya.
 
Media kita jangan pula terikut-ikut dengan rentak mereka. Maruah seharusnya menjadi pegangan. Wang jangan mula menjadi anutan.
 
 

*Oleh NORDEN MOHAMED, Sinar Harian, 2 April 2014

0 ulasan:

Catat Ulasan