Musa Hitam Musa ketika menjadi panel Diskusi Siri 3, 'Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang', kelmarin.
KOTA BHARU, 29 Mac - Setelah hampir 30 tahun tragedi Memali berlaku, kelmarin bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menjelaskan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berada di Kuala Lumpur, bukan di China seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Musa, yang ketika itu juga memegang jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, menjadi panel Diskusi Siri 3, 'Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang' anjuran kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan moderator, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Sebelum itu, Musa menegur Mohammad Agus, kerana menyifatkan soalannya itu sama ada perdana menteri berada di China secara kebetulan atau dirancang ketika peristiwa itu berlaku tanpa penyiasatan mendalam.
"Siapa kata dia (Tun Mahathir) di China? Sebenarnya dia di Kuala Lumpur," kata Musa, sambil disambut sorakan dan tepukan orang ramai yang mengikuti diskusi itu, di sini, semalam.
Musa berkata, beliau sendiri memaklumkan kepada perdana menteri tentang peristiwa 19 November 1985 yang mengorbankan 14 orang, manakala berpuluh yang lain cedera, walaupun menurutnya perdana menteri sudah mengetahuinya.
"Malah setahu saya, dua atau tiga hari kemudian barulah beliau akan ke China. Bagaimanapun, saya sempat memaklumkan kepadanya bahawa peristiwa tersebut sangat serius dan beliau perlu berada dalam negara dengan menyertakan tiga alasan.
"Saya katakan padanya, ini kerana ia melibatkan orang Melayu, dalam sebuah negeri (Kedah), dan jika beliau ke China, ia menunjukkan bagaimana perdana menteri mengambil mudah soal ini sedangkan dia sendiri perlu menanganinya," katanya.
Dalam diskusi yang turut menampilkan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sebagai ahli panel itu, Musa berkata, tragedi Memali merupakan titik hitam dalam dunia politik beliau, malah terus terang katanya, itulah juga yang dinyatakan kepada rakan-rakan sealiran dengannya.
Dalam tragedi Memali kira-kira 3,000 anggota keselamatan mengepung Kampung Memali di Baling, Kedah, untuk menahan tokoh agama tempatan, Ustaz Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan mengancam keselamatan negara dan memecahbelahkan umat Islam.
Selepas seminggu mengepung Memali melalui 'Operasi Angkara', pihak berkuasa memasuki kawasan itu menangkap Ibrahim. Berikutan itu, 14 penduduk kampung turut terbunuh, sementara berpuluh-puluh orang lagi tercedera.
* Oleh SAPINAH AB GHANI & MURNI ABDUL RASHID, Sinar Harian, 29 Mac 2014
0 ulasan:
Catat Ulasan