Saya seorang yang sederhana, rupa pun tidaklah seperti pelakon Aaron Aziz, kerja pun biasa sahaja, masih tinggal dengan mak dan pergi kerja pun masih naik motor. Saya tak berapa kisah dengan kehidupan saya yang sederhana ini tapi satu yang saya mahu dalam hidup saya, pasangan yang luar biasa sederhana daripada saya.
Setiap hari saya berdoa dan mengimpikan pasangan yang sihat, yang tinggi, kulitnya cerah dan mulus, persis Fasha Sandha. Bila saya balik kerja penat-penat, dia menunggu saya pulang dan bolehlah bermanja dan menyandarkan segala susah senang saya kepadanya. Tapi, sampai sekarang, umur saya yang sudah mengenjak 31 tahun, masih lagi belum bertemu dengan gadis yang saya impikan. Apakah yang saya minta terlalu luar biasa dari saya yang biasa ini?
Saya mengeluh. Bila agaknya saya boleh berpasangan seperti orang lain?
"Phhheewwiiittttt…." usik Usop. Kemudian yang lain seperti Along, Musa dan Arip, semuanya mengikut. Arip siap memetik gitar dan menyanyikan lagu Manbai, Kau Ilhamku.
Saya mengelengkan kepala saya. Mengikut mereka melepak di tepi longkang ini, sambil mengusik gadis kilang yang baru turun bas, bukanlah aktiviti yang saya gemarkan. Tapi oleh kerana, Usop merupakan kawan baik saya, saya ikutkan sahaja kerenahnya. Itupun dia yang ajak. Kalau tidak, saya lebih suka duduk di rumah dan menolong mak menyusun pasu bunganya. Tapi hari seperti hari Selasa dan Jumaat, saya tidak melepak di sini kerana meneman mak ke pasar malam. Oleh kerana saya merupakan satu-satunya anak yang tinggal dengan mak, saya ikutkan sahaja kehendak mak saya itu.
Dalam banyak-banyak gadis yang lalu, saya memang tertarik dengan Siti. Saya tidak tahu nama penuhnya tetapi saya tahu rumahnya yang mana satu. Siti memang cantik, walaupun tidak secantik Siti Nurhaliza, saya sukakan gayanya yang lemah lembut dan berjalan menunduk ke bawah. Saya suka kesederhanaan yang ditonjolkan oleh Siti.
"Macam itik balik petang tu! Mencanak-canak ramainya. Tengok yang gemuk tu, kelakar aku melihatnya! Berlari macam anak gajah hilang mak." Musa tergelak-gelak.
Saya memandang ke arah gadis yang disebutkan Musa. Memang gadis itu berlari seperti mengejar bas.
"Entah-entah dia tertinggal sesuatu agaknya di dalam bas!"
Gadis itu berhenti, mencungap-cungap. Kasihan saya melihatnya. Saya terus berlari mendapatkan bas itu dan meminta bas itu berhenti sekejap. Gadis itu berjalan dengan dadanya yang berombak, terlalu penat.
"Terima kasih bang." Ucap gadis itu kepada saya.
Saya hanya tersenyum.
"Saya tertinggal beg duit atas bas."
"Hah cepat-cepat! Terhegeh-hegeh. Kalau perut boleh tanggal, takkan boleh nak tinggal!" jerit pemandu bas itu.
Saya tersentak.
"Encik, encik tak berhak berkata begitu kepada dia. Dah tertinggal, nak buat macam mana? Kalau encik tertinggal anu encik, macam mana?" Saya seraya berkata begitu kepada pemandu bas kilang itu.
Terdiam pemandu bas itu, merah padam mukanya. Padan muka! Saya sengaja pulangkan paku buah keras kepadanya. Ada ke patut berkata begitu kepada seorang gadis? Sungguhpun dia berbadan besar, dia juga punya hati dan perasan.
Gadis itu turun daripada bas setelah mendapatkan beg duitnya yang tertinggal tadi. "Terima kasih bang!"
Saya tersenyum.
"Terima kasih banyak-banyak kerana menolong kawan baik saya."
Saya menoleh ke belakang ke arah suara itu. Saya terkejut! Siti menegur saya.
"Ehh… tak apa. Abang ikhlas." Ujar saya.
Saya sudah tersipu malu. Pertama kali saya bercakap dengan Siti. Kalau dapat ditoreh muka saya ini dengan pisau pemotong getah itu, darah pun tak terkeluar, punya segan dan malu.
"Oooiiii ulat bulu dah naik daunnnn…" jerit Usop dari pangkin tepi longkang itu.
"Er… balik dulu bang." Ujar Siti.
"Iya.. jalan elok-elok. Jatuh bangun sendiri." Usik saya.
Siti dan kawannya tadi tersenyum.
"Abang!" kawan Siti tadi memanggil saya.
"Ya, dik."
"Kawan saya ni, namanya Siti Nurhanis."
Siti memukul lengan kawannya. "Apa ni Sarah. Malulah…"
"Manis nama tu Siti. Terima kasih, Sarah!"
Sejak itu, nama Siti Nurhanis bermain dibibir saya.
"Mak kenal Siti Nurhanis?" tanya saya sehari selepas peristiwa semalam.
.......Bersambung......
Oleh ISKANDAR DANIEL
0 ulasan:
Catat Ulasan