Sebulan selepas itu…
"Azman." Panggil mak.
Saya segera mendapatkan mak saya, sebaik sahaja pulang dari masjid. "Ya mak."
"Mak dah dapat calon untuk Man. Mak memang berkenan dengan dia, sudah lama. Tapi mak takut Man tak mahu dia. Baik budaknya Man."
Saya terkejut. Baru sahaja saya minta mak yang carikan, mak sudah mendapat calon untuk saya. Biar betul mak ni? Saya mengerut dahi.
"Benarkah mak? Mak tak main-main dengan Man?"
Mak saya mengelengkan kepalanya.
"Ada pula bab munakahat seperti ini, mak nak main-main Man."
Hem… Saya melepaskan nafas kuat. Apa lagi yang mahu saya tunggu? Menunggu Siti berpisah dengan suaminya? Saya bukan orang yang suka mendoakan ketidakbahagiaan orang lain. Setiap hari saya memanjatkan doa agar jodoh Siti dengan suaminya panjang, sehingga akhir hayat. Begitu juga saya, agar saya mendapat jodoh yang baik, yang hormat mak saya dan saya. Saya tidak mahu lagi, luar biasa dari saya yang sederhana ini.
"Kalau mak kata begitu, Man ikut sajalah mak. Man tak kisah. Man percaya, pilihan mak itu adalah terbaik buat Man."
Mak saya tersenyum dengan jawapan saya itu.
"InsyaAllah, hujung bulan depan, mak masuk meminang."
Saya hanya mengangguk, tanda setuju. Saya harus melepaskan Siti, melepaskan dia buat selamanya dalam hidup saya.
Hujung bulan…
Saya berpuas hati melihat hantaran-hantaran berwarna biru dan putih, hiasan kakak dan mak. Sungguh tangan mereka berseni. Kalau suruh saya buat, mahunya jadi sangkar burung, bukannya hantaran hadiah pertunangan.
"Man…"
"Ya mak."
"Elok tak cincin yang mak pilih ni?"
Saya melihat cincin yang diberikan mak. Runcingnya jari perempuan ini? Kalau melihat cincinnya, orangnya mesti kurus. Kalau sudah kurus, selalunya tinggi. Macam Fasha Sandha ke? Saya sengaja menyedapkan hati saya. Sungguh cinta pertama sukar untuk dilupakan! Siti, masih saya teringat walaupun dengar ceritanya, dia sudahpun berbadan dua. Saya masih seperti ini.
"Kau tak teringin nak jumpa dia ke Man?"
"Siapa kak?"
"Bakal tunang kau ni."
Saya hanya tersenyum nipis.
"Haihh.. dia selalu jumpa dah." Sampuk mak.
"Apa? Man selalu jumpa dia?" Saya mengerut dahi. Saya memandang mak.
"Yelah! Selalu mak suruh kamu ke kedai Pak Shamsuddin tu."
"Jadi?"
"Anak dia lah bakal tunang kamu…"
Saya tergamam. "Maksud mak?"
"Siti Sarah tu! Dulu dia gemuk-gemuk. Sekarang dia dah kurus dah…"
Saya tiba-tiba ketawa.
"Kenapa ketawa Man?" Tanya kakak.
Saya teringat sebulan yang lalu!
"Mannn…"
"Ya mak!"
"Tolong belikan mak santan."
Saya hanya mengangguk. Cepat sahaja saya menghidupkan enjin motor dan bergerak ke kedai Pak Uddin.
"Sarah, bagi santan RM2.00."
"Kejap ya bang!"
Saya hanya mengangguk.
"Abang nampak kurus." Ujar Sarah sebaik sahaja memberikan bungkusan berisi santan kelapa kepada saya.
"Tak sedap badanlah Sarah. Balik dulu ya."
.......Bersambung......
Oleh ISKANDAR DANIEL
0 ulasan:
Catat Ulasan