Breaking News
Loading...
Khamis, 12 Jun 2014

Info Post
HIDUP ini adalah sebuah perjalanan yang panjang. Secara fizikalnya, walau ke mana pun kita bergerak, kita akan berada di muka bumi ini juga.
 
Namun secara mental dan spiritualnya, kita boleh berjalan merentasi waktu ke zaman silam dan zaman akan datang, melepasi jarak dari bumi ke langit ketujuh mahupun menyelinap ke segenap dimensi nyata mahupun yang ghaib.
 
Kita boleh memilih sama ada untuk bergerak secara merangkak, berjalan mahupun berlari. Terbanglah jika mampu. Lazimnya, kadar kelajuan menjamin sama ada cepat atau lewatnya kita sampai ke destinasi.
 
Bagaimanapun, dalam konteks perjalanan dalam kehidupan, kepantasan tidak menjamin kecepatan tibanya kita.
 
Mengapa? Ia adalah kerana perjalanan hidup ini hanya ditentukan kepada sekuat dan seserius manakah kita fokus untuk tiba ke matlamat. Ringkasnya, jika kita pernah dengar cerita arnab dan kura-kura, maka begitulah realiti bahawa laju itu tidak semestinya cepat, perlahan itu tidak semestinya lewat.
 
Fokus itu bukan menjamin kita tiba cepat sampai ke tujuan, tetapi menjamin kita tiba ke destinasi dengan kadar pergerakan yang konsisten. Fokus kepada arah tujuan itu mengelak kita bertangguh walaupun keputusan untuk menuju ke matlamat sudah termateri di dalam hati.
 

Saya teringat sebuah cerita yang disampaikan oleh Shaykh Muhammad Alshareef, salah seorang pengasas Al-Maghrib Institute mengenai peri pentingnya kita tahu arah tujuan.
 
Cerita ringkasnya, begini... Pada suatu hari saya hendak memandu ke utara. Dalam perjalanan, saya bercadang untuk singgah ke rumah seorang kenalan. Dia hanya kenalan secara maya. Tidak pernah bertemu muka.
 
Setibanya saya di kawasan perumahannya, hari sudah malam. Saya memandu perlahan, berputar-putar memasuki lorong-lorong sambil tercari-cari rumahnya dalam kegelapan malam.
 
Tiba-tiba saya ternampak seseorang sedang menggamit saya dengan lampu suluhnya. Saya mengagak itulah kenalan saya. Benar, ke rumahnya yang saya tuju. Dialah yang saya cari.
 
Sebaik sahaja bersalaman, saya bertanya beliau bagaimana dia tahu orang yang sedang memandu kereta itu adalah saya?
 
Jawabnya, 'Saya hanya mengagak awaklah rakan yang hendak ke rumah saya kerana cara awak memandu amat perlahan seperti orang yang sedang tercari-cari. Hanya orang yang belum pasti ke manakah tujuannya yang akan bergerak perlahan.'
 
Kata-kata kenalan saya itu memberi saya pengajaran bahawa jika tahu ke manakah arah yang kita tuju, barulah kita boleh bergerak dengan pantas.
 
Benar. Kita boleh bergerak pantas setelah kita tahu ke manakah arah tujuan. Sebaliknya, jika kita bergerak laju juga tanpa tahu ke manakah kita hendak pergi, ia umpama seseorang punyai masalah peribadi berat yang memandu kereta ke mana sahaja mengikut perintah hati.
 
Akhirnya kita tidak tiba ke mana-mana. Rugilah jika dengan sebab tindakan itu kita sesat jalan. Lebih malang jika ditimpa kecelakaan kerana cuma menggunakan hati tanpa menseiringkan dengan pertimbangan akal.
 
Perjalanan menuju matlamat dalam kehidupan ini boleh kita kaji melalui mereka di sekeliling kita, terutamanya rakan-rakan sekolah.
 
Di kalangan mereka yang kelihatan cerdik dan cergas, kita ada rakan-rakan yang sederhana. Mereka tidak kelihatan menonjol. Malah, tidak menampakkan potensi untuk menjadi orang yang hebat dalam kehidupan.
 
Namun setelah berbelas tahun berlalu, ada di kalangan mereka ini yang jauh berjaya daripada kita sendiri. Jika direnung dan diteliti, kita akan dapati mereka ini tahu apa yang dimahukan dalam hidup.
 
Kerana itu mereka konsisten bergerak ke arah yang diingini. Akhirnya mereka berjaya mengalahkan golongan yang cergas, cerdik dan pantas di zaman sekolah dahulu.
 
Bagaimanapun, tidak semestinya juga kita boleh lancar menuju ke destinasi walaupun tahu ke manakah arah tujuan jika tidak bertindak untuk sampai ke matlamat.
 
Sebahagian besar daripada kita, walaupun tahu ke manakah arah tujuan tetapi tidak juga ke mana-mana kerana tidak bertindak di atas keputusan yang telah dibuat.
 
Bertangguh. Ia bukan semata-mata situasi di mana seseorang itu menangguhkan keputusannya untuk bertindak. Sebaliknya ia adalah situasi di mana seseorang yang telah mengambil keputusan untuk bertindak, tetapi tidak terus mempraktikkan keputusannya.
 
Tanpa disedari, inilah yang menjadi tabiat sebahagian besar daripada kita. Selain daripada gagal untuk bertindak ke atas apa yang telah diputuskan, lebih ramai di antara kita yang sudah terlupa dengan matlamat.
 
Kita terlupa mengenai matlamat kita belajar, bekerja, berumah tangga, malah terlupa akan matlamat hidup. Jika kita terlupa akan segala matlamat dalam kehidupan,  barangkali kita turut terlupa akan matlamat kematian ~ destinasi akhir perjalanan itu sendiri.
 
 

* Oleh NORDEN MOHAMED, Sinar Harian, 11 Jun 2014

0 ulasan:

Catat Ulasan