Kaherah, 13 Nov. - Presiden Mesir yang digulingkan tentera, Mohamed Mursi Isa al-Ayyat semalam berkata dia diculik Pengawal Republik sebelum dikurung di sebuah pangkalan tentera laut sehari sebelum dia disingkirkan secara rasmi pada Julai lalu.
Kenyataan itu adalah pengakuan pertama dibuat pemimpin gerakan Islam berkenaan yang membayangkan dia ditahan secara paksa seawal 2 Julai.
Menurut surat Mohamed Mursi yang dibacakan peguamnya, Mohamed Damati, rakyat Mesir perlu tahu bahawa dia diculik dan ditahan tanpa kerelaan sejak 2 Julai serta dikurung di bangunan Pengawal Republik sehingga 5 Julai.
"Saya dan pembantu lain kemudian dipindahkan secara paksa ke sebuah pangkalan tentera laut selama empat bulan," katanya.
Kenyataan dibacakan Mohamed Damati itu disiarkan sebuah stesen televisyen semalam.
Pengawal Republik adalah unit elit tentera Mesir yang melindungi Istana Presiden serta bangunan kerajaan di negara itu.
Mohamed Mursi dan pemimpin lain Ikhwanul Muslimin muncul untuk kali pertama di mahkamah pada 4 November lalu untuk menghadapi tuduhan menghasut keganasan ekoran kudeta dilakukan Jen Abdel Fattah al-Sisi Julai lalu.
Mohamed Mursi berkata, Mesir tidak akan pilih sehingga apa yang berlaku kesan kudeta itu disingkirkan, manakala pihak yang terbabit dipertanggungjawabkan.
"Saya mengagumi kebangkitan orang ramai menentang rampasan kuasa yang bakal jatuh melalui jihad rakyat demi hak dan kebebasan Mesir," katanya.
Mohamed Mursi berkata, ketika ditahan dia hanya bertemu Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Catherine Ashton dan empat pendakwa yang bertanyakan soalan kepadanya.
Bagaimanapun, kata Mohamed Mursi, dia enggan menjawab semua soalan yang dikemukakan.
Mohamed Mursi juga tidak mengiktiraf mahkamah yang membicarakannya. – Reuters
0 ulasan:
Catat Ulasan